Sunday, June 27, 2010

Dari Meja CEO The Qum Actors : Ulasan Teater Tuah Hang Jebat

Assalamualaikum...

Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan teater Tuah Hang Jebat (THJ) selama 2 malam berturu-turut (16 dan 17 Jun) di Taman Budaya Kuala Lumpur. Terima kasih yang tak terhingga juga diucapkan kepada pihak Taman Budaya yang telah memberi kerjasama yang baik sebelum semasa dan sesudah THJ. Terus kepada persembahan pada kedua kedua malam.

Secara amnya persembahan THJ pada malam tersebut berjaya menyentuh satu titik mentaliti penonton supaya berfikir di luar kotak akan maksud kelainan naskah Tuah Hang Jebat berbanding kisah hikayat Hang Tuah yang biasa kita dengar dan baca. Olahan skrip yang segar dengan suntikan suntikan Islam mempersoalkan apakah selama ini keris Tamingsari yang diagung agungkan itu benar benar membawa kekebalan kepada Hang Jebat atau Hang Tuah. Namun yang pastinya, keris tersebut hanyalah alat namun yang berkuasa menentukan hidup mati seseorang hanyalah pemegang takdir kesemua manusia iaitu Allah.

Beberapa adegan di dalam THJ juga telah menadapatasi kisah kisah yang diceritakan di dalam Alquran dan hadis. Contohnya kisah Tun Teja menarik belakang baju Hang Tuah sehingga terkoyak ketika Tun Teja cuba menggoda Hang Tuah supaya bermukah dengannya. Kisah ini juga boleh didapati ketika mana Nabi Yusuf digoda Zulaikha kerana ketampanan Nabi Yusof tiada tara bandingnya.

Begitu juga adegan terakhir ketika Tuah cuba membunuh Jebat menggunakan Tamingsari. Tikaman Tuah tidak lut. Maka Jebat mengatakan kepada Tuah “Kalau kau ingin membunuhku, maka sebutlah nama yang menentukan takdir hidup ku”. Nama siapa lagi kalau tidak Allah. Bagi saya sentuhan sentuhan beginilah yang mampu membawa kelainan dalam naskah THJ baru baru ini.

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa pelakon pelakon TTS adalah terdiri daripada mereka yang berbakat dan juga mereka yang mempunyai asas teater yang kuat. Kekuatan vokal hampir kesemua pelakon sangatlah memberansangkan. Cuma ada beberapa pelakon yang masih perlu digilap mutu lontaran vokalnya. Terutama watak Melur, Dang Anum, pengawal istana, serta tiga ‘Hang’ yang lain. Namun, terdapat ‘wow’ faktor untuk vokal Melur dan Dang Anum. Suara kedua dua mereka sangat sesuai sebagai seorang gadis Melayu lama.

Bagi watak lakonan Hang Tuah dan Hang Jebat, masing masing punya standard yang bagus. Namun pengalaman Tuah yang sudah banyak berlakon dalam naskah naskah Dr Shark menjadikan lakonannya lebih matang dan berkarisma. Sebagai Hang Jebat, bakat yang ditonjolkan seakan member janji bahawa bakat inilah yang mampu menyinar di masa akan datang. Namun Jebat perlu berhati hati dengan lontaran vokalnya, terkadang di akhir akhir cerita Jebat kelihatan lelah dan ini mungkin mengganggu kehebatan vokalnya.

Nisa yang melakonkan watak Tun Teja tampil denagn watak yang sangat menjadi. Kekuatan vokalnya jelas, dan cara beliau menggoda Hang Tuah sampai maksudnya sehingga kadang kadang membuat penonton tidak senang duduk. Bagi saya, Nisa telah memperbaiki mutu lakonannya jika dibandingkan penampilannya sewaktu Bangsawan Tuah Hang Jebat dahulu. Kudoss

Lakonan Inangda yang dimainkan oleh Atul sangat berkesan. Terserlah kejahatan Inangda dalam merancang rencana jahat supaya difitnah Hang Tuah dan lantas dihalau dari istana. Namun Atul perlu lebih banyak mencuba watak watak lain yang mampu mencabar gaya lakonannya. Kalau ditimbang kekuatan watak Inangda, pentingnya Inangda adalah kejahatannya yang menyebabkan kematian Jebat. Tidak faham? Cuba fikirkan akibat kejahatan yang dilakukan Inangda.

Watak Patih Karmawijaya memang tidak dapat dinafikan kehebatannya. Gayanya yang sememangnya menaruh dendam terhadap Hang Tuah memang menjadi. Cuma ada beberapa waktu di mana suara Patih Karmawijaya jatuh dan menganggu ‘energy’ lakonannya. Terutama sewaktu adegan di dalam bilik Tun Teja ketika Tuah dan Teja tertangkap. Lebih tepat ketika beliau mengancam untuk Teja untuk mengadu hal tersebut kepada Sultan.

Kewibawaan watak Sultan Melaka yang dibawa oleh Usop sangat membanggakan. Beliau berajaya membawa aura angkuh seorang Sultan. Kemurkaannya jelas terpancar dimuka bengis beliau. Cuma beliau harus berhati hati ketika meninggikan suaranya. Namun Sultan Melaka memang nampak kehebatannya. Mungkin setelah beberapa tahun bergiat aktif di dalam TTS, maka inilah hasilnya.

Secara amnya, TTS bagi saya telah banyak melahirkan pelakon dari ‘zero’ kepada ‘something’. Tahniah saya ucapkan kepada Dr Shark yang telah melatih bakat bakat baru ini. Sehebat mana pun bakat yang ada, bagi saya yang penting adalah tekad dan komitmen. Tekad dan komitmenlah yang menentukan kemalaran seseorang di pentas. Sedia belajar dan menerima teguran adalah sangat sangat penting. Tidak malu untuk mencuba watak watak baru dan berani untuk menonjolkan karakter karakter baru berdasarkan kreativiti masing masing. Hanya dengan cara begitu mutu lakonan akan meningkat.

Apa pun, secara kolektifnya, ada beberapa bahagian perlu diambil kira. Dari aspek solekan, ahli TTS perlu diajar asas asas solekan. Solekan sangat penting untuk menaikkan seri watak seseorang pelakon. Dengan solekan membuatkan penonton percaya bahawa watak yang ditontonnya adalah seorang budak, orang tua, gagak, kambing atau apa saja.

Pemilihan watak perlu juga diambil kira supaya watak watak yang diberikan kepada pelakon adalah sangat bersesuaian untuk dilakonkannya.

Apa apa pun saya sangat berpuas hati dgn teater Tuah Hang Jebat. Kepada TTS, selamat maju jaya!


Mohd Faisal Aziz (Pacel)
CEO, The Qum Actors

Tuesday, May 11, 2010

teater ANUGERAH MERDEKA


Dengan bangganya kumpulan teater
TRONOH THEATRE SHOP (TTS)
dan
THE QUM ACTORS (TQA)
akan mempersembahkan tiga karya daripada penulis TTS-TQA terkenal iaitu DrShark, Akin, dan Sefa sempena teater ANUGERAH MERDEKA yang bakal berlangsung pada 31 Mei hingga 5 Jun* 2010 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Budaya & Pustaka Kuala Lumpur.


akan datang di Festival Teater Anugerah Merdeka DBP;

Jiwa Merdeka oleh DrShark


L.I.F oleh Akin


MAR- day oleh Sefa


*tarikh dan masa bagi ketiga-tiga persembahan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Thursday, May 06, 2010

TQA Bangkit Dengan Nasi Lemak 10 Sen

Assalamualaikum dan Hai pada semua!

Setelah beberapa lama kami menyepi (selepas penampilan kami dalam teater Miao Miao Sang Arnab dalam The Shark Attack Theatre Tour 2009 yang lalu), The Qum Actors (TQA) kembali bangkit dari lelap dan mula beraksi bagi tahun 2010 ini dengan karya teater pendek berdurasi 15 minit berjudul "Nasi Lemak 10 Sen". Pementasan tersebut adalah sebagai 'pre-show' untuk Bangsawan Tuah Hang Jebat yang telah berlaku pada 10 dan 11 April yang lalu di Multi Purpose Hall, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

"Nasi Lemak 10 Sen" adalah karya Akin Muhammad yang telah berjaya memenangi hadiah saguhati dalam 2nd Kakiscript Playwriting Competition 2009 anjuran Kakiseni.com. Ia mengisahkan tentang seorang pengemis di sebuah kota ingin membeli nasi lemak yang dijual oleh Kak Zee tetapi masih belum cukup wang. Pengemis sudah ada RM 1.40 dan dia hanya perlukan 10 sen saja lagi. Orang Kaya(p) yang menjadi pelanggan tetap Kak Zee pula tidak mahu memberikan 10 sen kepada pengemis. Pengemis didatangi oleh seorang lagi pengemis (Pengemis 2) dan mencari jalan untuk mendapatkan 10 sen dengan membuat persembahan tepi jalan. Orang Kaya(p) tadi perasan yang pengemis sedang buat persembahan dan akhirnya memberikan 10 sen kepadanya. Akan tetapi, pengemis baru sedar yang RM 1.40 sudah dicuri oleh Pengemis 2. Pengemis makin terdesak dan tetap mahukan nasi lemak Kak Zee itu. Kesudahannya berpihak kepada pengemis, dengan kebolehannya ’mengemis’ yang tersendiri.

Apa yang menarik adalah, di bawah arahan Faisal Aziz (Pacel), TQA cuba menghidupkan karya tersebut dengan konsep 'binatang', cuba untuk memaparkan watak-watak manusia dalam karya itu menjadi watak-watak binatang. Misalnya watak Pengemis menjadi Anjing Kurap, Orang Kaya(p) menjadi Kambing, Kak Zee menjadi Kucing Parsi dan Pengemis 2 menjadi Burung Gagak. Cubaan ini juga untuk mengangkat isu kemanusiaan-kebinatangan di samping menonjolkan satu sisi yang bertemakan sosio-politik sesebuah negara serta banyak lagi isi-isi dalam teater pendek ini, seperti komen Encik Rashid, salah seorang pegawai dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negara, "It's short. But it's full of messages". Pelakon TQA yang terlibat adalah:

Faisal Aziz (Pacel) sebagai Kambing Kaya
Tasha Zamri sebagai Kucing Zee
Aizuddin Amran sebagai Anjing Kurap

...dan juga turut menampilkan pelakon junior dalam TTS iaitu Hissam (Kisas) sebagai Gagak.

Berikut adalah antara sedutan teater pendek "Nasi Lemak 10 Sen" dalam bentuk fotografi.



Tahniah dan terima kasih kepada semua pelakon TQA kerana telah berjaya mementaskan teater pendek ini. Dan juga terima kasih kepada Tronoh Theatre Shop (TTS) kerana telah memberikan platform untuk TQA beraksi kali ini dan atas tajaan kostum binatang secara percuma dan 'meminjam' seorang pelakon tanpa bayaran.

Kredit foto: Mohd Zulfadzli (CJ) Ayob