Friday, July 24, 2009

Kata-kata Pengarah Miao Miao Sang Arnab

Ulasan oleh Faisal Aziz (Pacel)
Foto oleh Farhan Iqbal



Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Pementasan Miao Miao Sang Arnab (MMSA) sudah pun berakhir dan sesuatu menjadi sesuatu yang terang lagi bersuluh akan banyak perkara yang dapat dipelajari sepanjang usaha untuk mementaskannya. Selaku pengarah dan ketua The Qum Actors (TQA), saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua. Penat lelah dan usaha akan terbayar walaupun bukan disini, tetap ada habuannya disana. Apa yang penting kita sama sama Ikhlas melakukan semua pekerjaan ini.

Apa yang dapat diperhatikan melalui gambar gambar yang diambil oleh Paan (terima kasih Paan!), tidak lari dari setiap gambar, ekspresi muka yang sangat jelas. Maka, pada pendapat saya masing-masing tahu untuk memberi respon secara ekspresi untuk watak yang mereka lakonkan.

Untuk berlakon dan menghidupkan watak bukanlah sesuatu perkara yang boleh dibuat satu malam atau melalui beberapa hari latihan. Namun, berdasarkan apa yang telah ditunjukkan oleh orang yang kali pertama berlakon (terutamanya Saha dan Nisa’), saya merasakan apa yang telah dipertontonkan adalah sesuatu yang bagus. Paling tidak, lebih bagus dari sessi sessi latihan sebelumnya. Seharusnya untuk kali pertama berlakon, saya tidak meletak harapan lakonannya seperti mereka yang sudah banyak kali berlakon.

Nisa' sebagai Ros yang juga bertindak sebagai pencerita banyak bermain dengan emosi sedih dan kecewa.


Saha, orang baru dalam teater, dengan gaya playboynya yang tersendiri.


Lakonan memerlukan begitu banyak latihan dan pernyataan ini termasuk kepada saya, Koba dan Lut. Komitmen sedari awal serta kemahuan yang mendalam untuk melakukannya. Mudah untuk mengatakan “Watak playboy senang aja… Watak yang suka main perempuan lah!”. Namun disebalik kenyataan sebegitu, ia menyelinap lebih dari segenap ruang fizikal seorang playboy. Apakah playboy itu sekadar suka perempuan?Atau adakah playboy itu seorang yang tenang lagaknya tapi jauh dilubuk hati, dia akan membaham mangsanya tanpa belas? Bagaimana lagak gaya seorang playboy? Cara berjalan, cara merokok, cara bercakap dan sebagainya.
Justeru, pelajaran yang boleh diambil adalah mengkaji watak yang diberi. Menonton filem filem yang boleh dijadikan rujukan masing masing. Akhirnya kita mampu mengatakan, “Owh itulah playboy gaya Saha!”

Ada mengatakan MAT kurang respon dari segi ‘verbal’. Namun, watak yang dibawa Mat pada malam tersebut adalah watak selesa beliau. Saya selaku pengarah mencuri lihat ekspresi ekspresi yang ditunjukkan sewaktu beliau berlakon. Pada perkiraan saya, adegan menjual kain yang dimaksudkan oleh komen tersebut apabila MAT kurang memberi respon kepada Pak Tam. Saya akui, memang sukar untuk memberi respon sewaktu tiada baris skrip untuk dilontarkan, namun ia boleh diganti dengan respon ‘non verbal’ seperti “ooo”, “aaa”, “er” dan sebagainya. Dari segi ekspresi muka, MAT berjaya melakukannya.

Watak Arnab sememangnya mencabar fizikal dan mental tetapi berjaya didukung dengan begitu baik oleh Pacel, merangkap Pengarah teater ini.


Emosi yang pelbagai penting untuk menjadikan sesebuah teater itu lengkap dan ini telah berjaya ditunjukkan melalui watak MAT


Memegang watak Arnab sangatlah mencabar stamina dan keyakinan diri. Sepanjang latihan dahulu, saya asyik berfikir bahawa watak Arnab ini adalah jelmaan diri MAT. Maka setiap gerak gerinya adalah pantulan gerak geri MAT sebenarnya. Memang ada yang sedar akan watak Arnab sedikit tercungap pada awal dan selaku orang yang memainkan watak tersebut saya sendiri mangakuinya. Watak Arnab perlu dikawal agar karakternya hidup sehingga akhir persembahan. Watak arnab perlu memberi kesan kepada penonton. Watak ini perlu membuat penonton ingin menonton sampai habis cerita tersebut. Duduk, terpaku dan terpukau. Memang ada kelemahan Arnab yang dibawakan oleh saya terutama pada adegan akhir apabila ‘energy’ dikatakan sedikit turun. Watak Arnab memang penat untuk melakonkannya serta sakit badan, pinggang dan tangan. Alhamdulillah, persiapan yang saya lakukan dengan berlari selepas habis kerja untuk mendapatkan stamina akhirnya membuahkan hasil.

Memaksudkan skrip juga adalah suatu kemestian. Setiap perkataan adalah berharga. Walaupun hanya beberapa baris skrip, namun tetap ada tujuannya. Ramai yang bertanya, apa kepentingan watak Ros? Tidak dinafikan, watak Ros itu kecil, tetapi setiap baris ayat itu sangat bermakna. Antaranya “Punya cinta tiada rasa, ada rasa tiada cinta”. Mengapa disebut sebegitu lalu ditujukan kepada arnab? Itu yang perlu difikirkan.

Kemunculan Ros sebelum dan selepas adegan memang ada tujuannya. Mengapa tidak kita kaitkan dengan adegan seterusnya selepas mendengar apa yang dilontarkan oleh Ros? Ros melontarkan persoalan untuk kita berfikir. Pentingnya Ros adalah setara dengan pentingnya Dang Wangi dalam cerita Jebat. Namun Nisa’ perlu banyak latihan untuk memaksudkan setiap baris skrip dan perkara ini adalah peringatan yang jelas untuk kita semua kerana berlakon bukanlah hanya sekadar melakonkan.

Watak Pak Tam yang dibawa oleh Lutfi sememangnya dicipta bersesuaian dengan karektor Lutfi sebagai seorang yang bersahaja. Maka tiada masalah untuk melakonkannya dan jelas Lutfi sangat menikmati watak tersebut. Penonton bergelak tawa sepanjang kemunculan Lutfi di atas pentas. Pada saya, watak Lutfi mampu menutup kelemahan cerita ini. Peringatan kepada pelakon, Lutfi adalah seorang yang penuh dengan idea yang sangat spontan. Maka untuk berlakon dengan Lutfi, maka kita perlu bersedia dengan idea tersebut kerana mungkin kita boleh tertawa sewaktu berlakon. Maka, hati hati.

Gelagat Pak Tam sudah pastinya lucu dan menghiburkan para penonton yang hadir.


Saya sangat berterima kasih kepada Lutfi yang sudi terbang jauh dari Bintulu untuk berlakon dalam cerita ini. Malah mengorbankan cuti tahunannya yang sepatutnya digunakan untuk perkara yang teramatlah penting.

Secara peribadi, skrip MMSA adalah boleh dikatakan lucah. Ada tujuan diwujudkan nuansa yang sebegitu didalam MMSA. Memang mungkin yang menontonnya merasakan, “Eh cerita apa ni?, Ular kepala hitamlah, tu tu lah, bla bla bla”. Walaubagaimanapun, ini jelas menggambarkan pemikiran pelakon utamanya iaitu MAT. MAT sebelumnya seorang yang agak sesat dan rosak, dan memang agak biasa dengan perkara perkara lucah sebegitu.

Kedua, mengapa lucah? Karektor karektor didalam cerita tersebut sememangnya mewakili watak yang jahat. Siapa Ros? Ros yang menduakan MAT dengan melakukan hubungan sulit bersama Roy di Paris. Roy? Sudah terbukti kejahatannya. Pak Tam? Samada perasan atau tidak “Aku dulu pun macam tu jugak, katanya ada ular dalam rumah, rupa rupanya, ular kepala hitam”.

Cuma watak Arn yang ada kedua duanya. Arn dicipta untuk menjadi sinikal terhadap setiap watak dalam cerita tersebut. Ini termasuklah watak watak yang tidak wujud yang hanya sekadar nama seperti Nona, “Nona? Mesti ayam Bandar!”.

Kesilapan teknikal sewaktu pementasan adalah sangat mendukacitakan. Namun apa yang telah diusahakan oleh Moorthy, Ainor dan Jijul harus diberi pujian. Kesilapan langsir pentas terbuka sebelum waktunya adalh boleh dielakkan. Nisa’ yang masih tiada lagi di atas pentas sewaktu adegannya adalah menjadi suatu kesalahan. Ainor selaku pengurus pentas perlu mengawal keadaan. Jawatan pengurus pentas adalah bukan sekadar jawatan. Ainor boleh sahaja memarahi sesiapa sahaja yang tidak mematuhi arahan yang diberikan. Saya berharap perkara kecil sebegini tidak berlaku lagi pada masa yang akan datang. Ia adalah pelajaran yang sangat berharga. Namun tempat mendapatkan pelajaran ini adalah sangat menyakitkan hati (sewaktu persembahan).

Kumpulan Produksi The Qum Actors bersama-sama dengan sebahagian penyokong dari Tronoh Theatre Shop UTP.


Terima kasih semua…


PACEL

2 comments:

  1. alhamdulillah

    thanks for the compliment tuan direktor :)

    we did our best, although there are some glitches but they're not intentional. with less than 4 days training and less than 2 days technical run, i think we did well :)

    ReplyDelete
  2. glitches are never intentional! If it is, its a sabotage!..hahaha....but you all did not do well, you all DID GREAT! The audience loved it!

    ReplyDelete