Friday, January 28, 2011

Dr.Shark's Mime Workshop + Ash Mime Performance at klpac Open Day 2011

Dr.Shark's Mime Workshop telah berjaya dilaksanakan buat pertama kalinya sempena klpac Open Day 2011 yang berlangsung pada hari Ahad 23 Januari yang lalu. Jurulatih bengkel ini adalah Dr.Shark sendiri yang berpengalaman dalam seni lakonan mime. Oleh kerana semua aktiviti yang dijalankan pada hari itu adalah secara percuma, kami telah menerima kunjungan seramai lebih kurang 20 orang untuk menyertai bengkel mime itu. Bengkel dijalankan di dalam sebuah bilik studio di klpac itu sendiri, bermula pukul 1 hingga 2 petang.

Beberapa teknik asas mime telah ditunjuk ajar oleh Dr.Shark secara praktikal. Peserta bengkel ternyata memberikan respon yang positif dan mereka seronok dengan aktiviti yang dilakukan.

Pukul 2.30 petang pula, artis mime kami yang tidak asing lagi iaitu ASH tampil membuat persembahan mime outdoor di hadapan orang ramai yang duduk secara santai di atas tanah beralaskan rumput di bawah sebatang pokok. Seperti biasa, penonton kagum dengan aksi mime Ash dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persembahan Ash tersebut.

Kami amat berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak klpac kerana sudi memberikan ruang untuk kami menjalankan bengkel mime dan persembahan mime ini. Terima kasih juga kepada peserta bengkel mime. Jangan lupa sertai bengkel mime kami yang penuh dan intensif pada bulan Mac nanti!

Sedikit gambar bukti yang telah ditangkap:










Thursday, January 27, 2011

Iklan: Teater Interaktif dalam Karnival ForTeen 2011

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Adik kami, Tronoh Theatre Shop (TTS) akan berteater secara interaktif bersama orang ramai di dalam acara Karnival ForTeen 2011 - Gaya Hidup Baru anjuran SaifulIslam Training & Consultancy bersama Masjid Bukit Indah, Ampang.

Persembahan teater interaktif TTS itu akan berlangsung pada hari Sabtu, 29 Januari 2011 pukul 9 malam bertempat di Masjid Bukit Indah, Ampang. Untuk alamat penuh: Masjid Bukit Indah, Lengkungan Bukit Indah2, Taman Bukit Indah, Ampang Selangor Darul Ehsan 68000 Malaysia.





Pelbagai aktiviti menarik telah dimuatkan di dalam karnival ini seperti yang tertera di dalam poster. Objektif utama karnival ini adalah untuk menarik minat masyarakat khususnya golongan remaja untuk melibatkan diri dengan aktiviti masjid yang bermanfaat untuk perkembangan diri dan agama.

Bagi mereka yang tinggal di dalam kawasan Lembah Klang atau sekitarnya, khususnya yang tinggal dekat dengan Ampang, anda dijemput untuk menghadiri karnival ini dan insyaAllah ada berkat dan manfaat yang akan anda peroleh.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web ForTeen.


Jumpa anda di sana!

Saturday, January 15, 2011

2011 Kick-Off: Dr.Shark's Mime Workshop

Salam dan selamat sejahtera semua.

Rasanya belum terlambat bagi kami mengucapkan Selamat Tahun Baru / Happy New Year 2011 kepada semua. Diharap agar tahun baru ini menjanjikan dan memberi peluang yang lebih baik kepada kita semua. The Qum Actors (TQA) juga sudah pasti telah merancang dan sedang melaksanakan beberapa projek bagi tahun 2011 ini. Oleh itu sebagai langkah mula atau kickstart program dan aktiviti kami pada tahun ini, kami dengan suka hati ingin menjemput anda semua untuk mengikuti program bengkel lakonan mime kami bersempena dengan klpac Open Day 2011 pada hari Ahad, 23 Januari 2011. Bengkel mime akan berjalan pada pukul 1 petang dan selesai pada pukul 2 petang. Kami juga akan menampilkan ASH (dan mungkin Cairell) sekali lagi untuk melakukan sedikit aksi lakon mime. Dan semuanya adalah percuma.


Bengkel mime ini merupakan introduction atau permulaan kepada bengkel lakonan mime penuh yang akan kami adakan pada bulan Februari nanti. Jadi, sudi-sudikanlah hadir dan rasai sendiri pengalaman bagaimana hendak melakonkan aksi mime dan jika anda rasa bengkel ini berkesan, boleh sertai bengkel penuh nanti. Jurulatih bagi bengkel mime ini adalah Dr.Shark yang merupakan pengasas dan penasihat Tronoh Theatre Shop (TTS).

Banyak lagi program dan aktiviti lain yang akan dijalankan dalam acara klpac Open Day ini seperti berikut:

Programme:

[Workshop]

Bollywood Dance Workshop by Shobana Sahajananan / Come "Lex" Dance by Lakshman Balakrishnan / Speech & Drama Makeover by Mark Beau / How to Use Drama in Your Classroom by Mark Beau (for teachers) / Mime Workshop by Tronoh Theatre Shop / Hip Hop Dance Workshop by Caprice Fong / The EXTREME! Walking Theatre Textbook by Kelvin Wong (16 years old and above only) / The EXTREME! Actors' Workout by Kelvin Wong (16 years old and above only) / Indian Classical Dance Workshop by Asthana Arts / Kelas Swing Agogo by KL Swing / Flamenco Dance Workshop by Kayla / Prevent Backpain with Good Posture by David Lim / Contact Improvisation Dance Workshop by Contact Improv KL / Script Analysis Workshop by Marvin Wong / Standup Comedy Workshop by Monti & Logi / Storyteller Chair by Ines Irdayanty (7 to 12 years old only) / YCOM Standup Comedy Workshop / Gamelan Introductory Workshop by Ezanin Mazlan / Cantonese Opera Workshop by Mdm Kam Sin Kiew/ A British Perspective of British Theatre Craft by Charles Donnelly (jointly presented by The Actors Studio & British Council & so on.

[Music Performances]

AkashA / Ariff Akhir / Ariz / Auburn / Caipifruta / Dewangga Sakti / Fall On One / Fynn Jamal / Goh Lee Kwang / Ian Chow / IskanTheGreat / klpac Orchestra / klpac Symphonic Band (ensemble) / Liyana Fizi / Markiza & Peter Hassan & Wong / Michael Chen / Min’z / Poet Stories / Rashdan Harith / Rendra Zawawi / RevuForte / Rosevelt / S.C.A.M. / Silent Scenery / Sofa Session / stringthesizers / Tashya Ink’s / The Kuala Lumpur Children’s Choir / Tony Leo / Wong Siew Jye / Young Choral Academy / Young KL Singers / Zest Ensemble

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web klpac.


Dan sedikit tentang profil jurulatih bengkel mime ini:

PROFIL DR.SHARK


Prof. Madya Dr. Shamsul Rahman Mohamed Kutty (Dr. Shark), pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), telah mula bergiat aktif dalam teater sejak 1987 di Kuala Lumpur. Beliau mula berkecimpung dalam teater sebagai pelakon dalam pementasan Atap Genting Atap Rembia (Roslina Khir), Mindstuff (Maureen Ten), Sister (Mustafa Mahidin), Wan Empuk Wan Malini (Normah Nordin), Cinta Arnab (Rajan - Panggung Negara), Macbeth (Kee Thuan Chye), Lady White Snake (Chin San Sooi), Asylum (Shamsul Rahman), Midsummer's Night Dream (Instant Cafe - Jo Kukathas), Mahkamah Keadilan (Normah Nordin - Panggung Negara), Bakai (Uwei - Panggung Negara), Titian (Normah Nordin) dan beberapa persembahan “mime” (Soo San).

Dr. Shark pernah mendapat tunjuk ajar berteater menerusi pengalamannya berlakon di bawah pengarah-pengarah “tersohor” Malaysia saperti Normah Nordin, Kee Thuan Chye, Jo Kukathas, Mano Maniam, Thor Kah Hong, Chin San Sooi, Fauziah Nawi, Joe Hasham, Faridah Merican, Uwei dan beberapa pengarah yang lain.

Dari pengalaman beliau menerusi kumpulan teater Centre Stage, Instant Café, Five Arts Centre dan Actor’s Studio, kumpulan Gest Shop yang ditubuhkan bersama rakan-rakannya muncul memenangi Pekan Teater Kuala Lumpur dengan skrip beliau berjudul “Cinta Sang Arnab”. Antara anugerah yang berjaya dirangkul ialah hadiah Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pengarah Terbaik. “Cinta Sang Arnab” karya Dr. Shark kemudiannya diangkat oleh Panggung Negara sebagai persembahan bulanan pada tahun 1992.

Selain itu, beliau telah mengarah beberapa naskhah teater dan pernah memenangi beberapa anugerah teater Festival Teater Selangor dalam SAWO (1991), dan Kerusi (1992), Festival Teater Matrikulasi (Asylum) dan Festival Teater Kuala Lumpur (Cinta Sang Arnab). Beliau adalah pengasas kumpulan teater Play-Play-n-Play di PPP, ITM dan Tronoh Theatre Shop (TTS) di UTP.

Semasa melanjutkan pelajaran di USA beliau telah juga mendalami teater improvisasi Boahl, “mime”, “mask” dan “stage combat” di Memphis USA. Beliau pernah membuat beberapa persembahan mime dan teater Boahl di beberapa lokasi di USA. Selain itu, beliau juga telah mengarah hasil karyanya sendiri yang lain seperti Hmm...Begitu Panasnya!, Sampah Oh Sampah, Transit, Asylum50, Taqdir (Dr. Shark & Sefa), Cinta Sang Arnab (Cinta Arnab), Miao-Miao Sang Arnab, Panggilan Maut, “The Awaited” , Tok Janggut (Dr. Shark & Salju Putih) dan Qum!

The 2010 Finale: Rantai Art Festival "GRAVITY"

Pada 20 & 21 Disember 2010 yang lalu, bertempat di auditorium Balai Seni Lukis Negara, telah dipentaskan himpunan pelbagai jenis persembahan teater oleh The Qum Actors yang turut menjemput artis-artis Tronoh Theatre Shop bersempena Rantai Art Festival "GRAVITY" anjuran Rantai.Art.

Gandingan kerjasama adik-beradik TQA dan TTS ini sememangnya menjanjikan sesuatu kepada penonton yang sudi hadir pada kedua-dua malam tersebut, meskipun cuaca hujan kurang mengizinkan namun tetap meluangkan masa selepas kerja untuk datang hadir menonton hasil himpunan teater daripada kami.

Kami telah menampilkan tiga artis mime ASH, Cairell dan A.Noisef yang mempersembahkan dua buah sketsa mime solo setiap seorang. Selain itu kami turut mempersembahkan sebuah pembacaan drama pentas "Nasi Lemak 10 Sen" yang merupakan pra-tonton kepada teater berskala penuh "Nasi Lemak Seposen" pada Mac/April 2011 ini. Disamping itu, Dr.Shark turut melakonkan monolognya "Terrorist in Custody" dan mempertontonkan karya sketsa pendeknya "Ketopat Oh Ketupat" yang dijayakan oleh Tasha, Atul dan Nisa. Tidak ketinggalan juga sebuah sketsa improv berjudul "Hmm.. Oh..Hmm.." gandingan Dr.Shark dan SEFA.

ASH dengan mime "The Housewife" dan "Mencari Cinta"
A.Noisef dengan mime abstrak "Teardrops" dan corporeal mime "Throw"
Cairell dengan mime "The Magician" dan "The Love Story"
Baca skrip "Nasi Lemak 10 Sen" oleh Tasha, Nik, Pacel dan Dr.Shark
Dr.Shark monolog "Terrorist In Custody"
Improv "Hmm..Oh..Hmm" oleh SEFA dan Dr.Shark
"Ketopat Oh Ketupat" oleh Tasha, Atul dan Nisa mengakhiri pementasan pada malam tersebut, dan di dalam gambar adalah semua cast dan crew kami yang telah terlibat.
Antara penonton yang hadir. Terima kasih! Harap terhibur!

Terima kasih kepada pihak penganjur Rantai.Art kerana telah memberi peluang kepada kami membuat persembahan selama dua malam berturut-turut. Tidak lupa juga kepada semua penonton yang sudi hadir menonton pementasan kami. Jangan lupa nantikan program dan aktiviti kami pada tahun 2011!


Tuesday, January 11, 2011

Musikal?

Tekanan kerja serta cita cita untuk konspirasi sebuah teater di kerteh telah banyak memakan masa aku. Dan hujung minggu yang harus di guna sebaik-baiknya bersama wife tercinta. Itu menyebabkan semakin jarang aku membebel di blog neh. Lagi pun, siapa yang kisah?

Haha.

Kebelakangan ini pentas teater tempatan dihebuhkan dengan budaya popular muzikal, yg sudah menjadi satu kemestian di Istana Budaya. Ya aku kira kita boleh berbangga kerana sudah ada premis teater berbaget besar di Malaysia, "professional" & gah untuk meletak nama sebaris dengan Broadway di New York dan West End di London. Tapi betulkah mereka ini professional? Sebagai pelakon di layar tv dan pawagam, ya. Tetapi sebagai aktivis teater? Ambil Contoh musikal seperti Natrah, Tun Mahathir, Siti di Alam Fantasi yang dikuasai oleh muka2 mesra penonton seperti Era fazira, Maya Karin sebagai watak utama sebaliknya aktivis teater sejati pula sekadar melukut di tepi gantang?

Malah ia sebenarnya telah membina satu presepsi atau seperti aku katakan tadi budaya popular dikalangan masyarakat marhaen bahawa na tngok teater kene pergi istana budaya, kena ada nyanyi dan kena ada artis terkenal!

Dan apabila mereka gah meletak nama musikal itu musikal ini untuk setiap pementasan di istana budaya.. adekah mereka benar benar memahaminya?

Berikut adalah sorotan temubual antara wartawan utusan dengan aktivis seni, Khalid Salleh (keluaran 12/12/2010). Article ini sangat panjang maka aku ambil mana yang penting..

Sekarang trend pengarah teater guna pelakon popular sebagai tarikan utama. Pelakon teater lekeh sangatkah?

Bukan masalah pelakon teater lekeh atau tidak. Masalahnya orang buat teater tu sendiri. Siapa mereka? Apa matlamat mereka? Saya tengok mereka tak ada keyakinan. Apa asas perjuangan dia terlibat dalam bidang teater? Adakah membawa gagasan perjuangan, landasan berkarya atau nak menumpang glamor? Saya dari dulu pun buat teater juga. Tapi tak pernah ambil pelakon popular kerana dia popular. Kalau ada pun macam Eman Manan atau Sani Sudin(Kopratasa). Isunya bukan popular atau tidak, tapi boleh berlakon atau tidak.

Habis tu di mana lagi tempat untuk orang-orang teater pada hari ini?

Dah tak ada arah dah. Satu ketika, orang teater ada tempat untuk berkumpul. Secara tak langsung, boleh cari sesama sendiri di Kompleks Budaya Negara (kini Aswara). Nak ke IB hari ini? IB tidak menjana suasana teater untuk orang teater berkumpul. IB dah jadi tempat untuk orang rasa glamor. Kalau lepak di kafe IB, boleh jumpa artis. Saya pernah ke kafe IB, tapi rasa gelilah. Nanti dicop saya artis popular.

Maksudnya pelakon teater hari ini macam dah tak laku lagi?

Nak cari pelakon yang laku, sudah tidak ada. Ini kerana suasana syarikat produksi yang terbit drama sampai 10, 50 episod. Festival Teater pun sudah tidak ada. Kalau tidak, boleh juga merangsang remaja lepasan sekolah menengah untuk kembang bakat mereka sebelum dapat menyambung pengajian teater di peringkat tinggi. Warna budaya teater sudah tidak ada untuk menjadi perangsang bukannya nak berlumba buat teater.

Pelakon teater memang sudah tidak ada ke hari ini atau orang tak nak ambil?

Saya tak kata pelakon tak ada, orang tak nak ambillah. Sebab mereka bukan crowd puller.

Apa kesannya kepada bidang teater untuk jangka masa panjang?

Kesannya akan bertambah hancurlah kerana perkembangan teater tidak ada. Sebab ia tidak membina satu kekuatan peribadi pembikin. Kalau di Indonesia, apabila Arifin C. Noer, Rendra dan Ratna Sarumpaet nak buat teater, orang dah tahu gagasan pemikiran mereka. Atau apa yang mereka disentuh kali ini? Bukan datang menonton teater kerana siapa pelakonnya popular.

Trend pelakon popular ni macam kita 'paksa' penonton terutama generasi muda. Apa komen Khalid?

Semuanya berbalik kepada nawaitu orang yang nak buat teater. Sebab teater satu medium, orang membuat kritikan atau tanggapannya tentang pelbagai masalah persekitaran. Orang teater guna landasan teater untuk tujuan itu. Sekarang orang buat atau masuk dalam teater kerana apa? Adakah kerana dia tidak ada ruang nak ke tempat lain, maka dia terpaksa buat teater? Atau teater jadi tempat himpun segala macam artis popular untuk membantu orang mengingati mereka?

Tapi macam Natrah ni dapat sambutan hebat, panggung penuh. Tidakkah ini satu kemajuan?

Mana ada panggung penuh tanda teater dah maju. Itu semua bukan ukuran kemajuan. Teater yang maju mampu membuat penonton berfikir dan muhasabah diri untuk keluarga dan negara. Tapi kalau setakat nak berhibur, baik main games. Betul saya cakap main games lagi baguslah.

Orang kata pelakon popular menyumbang merancakkan teater pada hari ini. Betulkah?

Sumbangan? Sumbangan apa? Saya tidak melihat daripada aspek sumbangan atau apa pun. Pelakon popular ni kalau tak dibayar, awak ingat mereka nak naik pentas? Itu bukan sumbangan namanya. Sepanjang saya buat teater, tak pernah orang tanya bayaran, bagi skrip sahaja.

Justeru, apa formula terbaik untuk memajukan teater pada hari ini yang sudah kelabu asap?

Istilah formula terbaik tak ada. Teater adalah satu proses dan proses ini perlu bermula dari bawah. Penstrukturan dulu dah nampak. Kita ada program Drama Sebabak. Sebut Drama Sebabak orang tertunggu-tunggu. Sekarang dah tak ada. Bila sudah terputus, nak bina khalayak balik dah tak boleh. Sebab tu guna modal pelakon popular yang tak tahu apa-apa.

IB asyik dengan teater muzikal. Akan datang Muzikal Tun Mahathir musim kedua? Hebat sangatkah kita buat muzikal?

Tolonglah jangan sebut istilah muzikal dengan saya. Saya geli geleman dibuatnya. Bagi dia orang, muzikal ni bukan asal ada muzik saja dah muzikal. Sebab itu semua nak dimuzikalkan. Dalam muzikal pelakon kena kenal beat macam dalam Miss Saigon. Semua pergerakan dalam beat termasuk intonasi dan menyanyi. Tapi muzikal kita ada dialog lepas tu nyanyi. Itu bukan muzikal, itu filem Hindustan. Teater muzikal apa macam tu? Tak sampai tahap pun kalau betul-betul nak buat teater muzikal. Ini berlatih baru sebulan dua, dah dipanggil teater muzikal.

Tetapi IB yang berjaya mempopularkan teater walaupun banyak mementaskan teater muzikal. Setuju tak?

Dari satu aspek, betullah. Tapi sampai bila IB nak bagi gula-gula kepada orang. Penonton yang tak kenal teater ingat itulah rupanya teater. Mereka rasa itu okey. Sebenarnya tak okey. Ah...malaslah cakap pasal teater di IB. Jom minum teh tarik lagi baik.

*Sumber: Arkib utusan malaysia

P/S: Terpulang kepada semua untuk menilai.

Adios.

Saturday, January 01, 2011

The Qum Actors New Label ASH(TM): A Representative from Malaysia in 1st Malaysian-African Art Tourism 2010

"The first step is always the hardest" / "Langkah pertama sememangnya yang paling sukar.", begitulah kata-kata yang diucapkan sewaktu ucapan alu-aluan dalam Welcoming Party 1st Malaysian African Art Tourism ini yang begitu tepat dengan situasi The Qum Actors sendiri yang baru menapak dalam bidang teater di Kuala Lumpur. 

Kali ini TQA menampilkan artis mime kami, ASH(TM) sekali lagi bagi memeriahkan lagi acara tersebut. Turut sama menyokong adalah Faisal Aziz, Farhan Iqbal, Akin M, Fauzan Nordin, dan jurumekap Muhammad Md Haris. Acara bermula pukul 6.30 petang selepas VIP daripada Duta Perancis dan CEO Orange Box Entertainment dan semua peserta dan artis hadir di Galeri Dunia Seni Lukis. Walaupun tempatnya agak tersorok, galerinya juga sederhana sahaja saiznya dan tetamu yang hadir pula tidak ramai mana, tetapi penuh juga kerusi yang disediakan. Interior galeri tersebut juga nampak ekslusif dan dipamerkan lukisan-lukisan yang dilukis oleh artis-artis dari Malaysia dan Afrika.

Pintu masuk galeri itu.

The Qum Actors antara artis yang terlibat membuat persembahan.
Sementara menunggu acara bermula. Sokongan padu harus diberikan.

ASH(TM) mempersembahkan mime "Mencari Cinta" versi baharu. Sedutan aksi-aksi mime ASH dalam gambar-gambar di bawah.

Ubat gigi susah nak keluar. 

Gosok gigi.

Praktis sendiri nak ajak perempuan menari.
Di mana nak cari cinta?

Dah jumpa cinta yang dicari, korek dada nak bagi hati kat perempuan.

Hati atau jantung?

Bye-bye penonton!

Bagus sekali bukan? Satu ibu jari!

Bersama dengan artis-artis dari Afrika dalam acara ini sememangnya mencipta satu pengalaman baru bagi The Qum Actors. Selain itu juga kami turut berpeluang berkenal-kenalan dengan pihak ArtMalaysia dan Duta Perancis yang sama-sama meminati bidang seni. 

The Qum Actors mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur ArtMalaysia, khusus juga kepada Brother Moustapha yang mengendalikan majlis tersebut, kerana telah memberi ruang kepada kami untuk membuat persembahan. Terima kasih juga diatas hidangan makanan-makanan daripada Nigeria dan Senegal. Makanan Malaysia juga turut sama dihidangkan, tidak dilupa, nasi lemak. Terima kasih juga kerana atas door gifts majalah ArtMalysia dan cakera padat Raja Nas.

Semoga dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang yo!