Thursday, August 06, 2009

Masa Hadapan Hiburan Malaysia

Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Tiba tiba saya merasa terpanggil untuk membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan hiburan di Malaysia. Lewat kebelakangan beberapa orang yang saya temui menyatakan rasa kecewa mereka terhadap kualiti rancangan dan hiburan tontonan mereka. Memang tidak dinafikan, sejak akhir akhir ini kebanjiran siri drama yang banyaknya berkisarkan tentang cinta, cerita seram dan unsur unsur mistik. Tidak kurang pula dengan rancangan rancangan realiti yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan lantas melahirkan bakat bakat segera. Fenomena sebegini sedikit sebanyak mengubah cara kita sebagai rakyat Malaysia.

Saya akui, memang menjadi hak sesiapa sahaja untuk menghasilkan karya mengikut ‘genre’ kegemaran masing masing. Namun sebagai penulis, kesedaran terhadap tanggungjwab sosial adalah sangat mustahak. Penulis mahupun penerbit atau sesiapa sahaja perlu peka terhadap perkembangan sosial masyarakat setempat. Karya karya yang mampu meniup semangat perpaduan sert mencabar kematangan fikiran rakyat haruslah digalakkan. Muktahir ini, kita kelihatan seakan akan ketandusan idea idea yang bernas dalam penghasilan filem filem bermutu. Filem filem yang diterbitkan lebih kepada hiburan ringan dan picisan.

Pendekatan yang tidak bertentangan dengan nilai agama seharusnya menjadi prinsip utama dalam penghasilan sesebuah karya. Mungkin sesetengah pihak menganggap cara sebegini sangat jumud dan kononnya ketinggalan zaman. Nasihat saya, lihatlah gelas itu setengah penuh daripada setengah kosong. Sikap kreatif seharusnya menjadi dasar untuk menghasilkan sesuatu karya agar tidak melanggar batasan agama. Dalam mempersoalkan isu cinta, perlukah sesbuah karya itu memaparkan isu cinta antara laki laki dan perempuan yang bukan muhrim? Berpegangan tangan, berpelukan, bercumbu dan sebagainya. Jelas disini, maksud cinta itu telah disempitkan dengan hanya memaparkan perkara sebegitu.

Ayuh kita cabar minda denagn menyingkap maksud cinta dengan lebih luas. Cinta antara ahli keluarga, bagaimana seorang bapa yang berjuang untuk menyelamatakan anaknya diambang maut (ambil contoh John Q). Cinta terhadap haiwan dan alam (ambil contoh Free Willy). Malah cinta yang paling agung, cinta kepada Pencipta.

Saya pernah berkesempatan menonton filem ‘I am Sam’ arahan Jessie Nelson dan dibintangi oleh Sean Penn serta Dakota Fanning. Filem yang mengisahkan seorang pemuda (Sean Penn) yang terencat akal berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap seorang kanak kanak yang ditinggalkan ibunya (Dakota Fanning). Cogankata untuk filem tersebuit berbunyi “All you need is love…~”. Jelas cerita ini membuktikan perasaan cinta mampu diterjemahkan oleh sesiapa sahaja. Hatta seorang yang terencat akal. Malah, filem ini juga merentasi ruang lingkup kemanusiaan.

Dalam menghasilkan filem sebegini, keterbukaan adalah sangat penting. Terbuka dalam menafsirkan sesuatu subjek, tetapi memilih maksud yang terbaik untuk dipersembahkan kepada masyarakat ramai. Lebih membanggakan ia sedikitpun tidak melampaui norma dan batas batas agama.

Saya yakin kita mempunyai pengarah pengarah yang hebat dan idealis. Namun kebanyakannya takut untuk menghasilkan filem filem yang mampu mencabar minda masyarakat. Alasan yang kerap kedengaran seperti “Isk… Tak boleh jual ni!”, “Siapalah yang nak tengok filem ko neh…syok sendiri lah!”, dan menggunung alasan diberikan. Persoalannya, sampai bila filem filem dan rancangan kita mahu berada dalam ‘status quo’?

Demi memajukan industri kita, seharusnya kita perlu berani dan sangat berani. Memang sukar pada mulanya. Perjalanan seribu batu harus bermula dengan langkah pertama. Maka, langkah pertamanya adalah cuba menghasilkan karya karya secara bebas atau ‘independent’. Sekarang telah ramai anak muda yang berani menyatakan pendapat mereka melalui penghasilan penghasilan karya. Mungkin pada mulanya akan terpengaruh dengan gaya arahan atau penulisan luar. Namun saya yakin, jika ia dipupuk dengan baik maka budaya ini akan bercambah dan mampu membawa perubahan yang sangat baik kepada kita semua.

1 comment: