Tronoh Theatre Shop (TTS) telah mementaskan ‘TTS Bundle Show’ baru-baru ini. ‘TTS Bundle Show’ menggabungkan sebanyak 8 sketsa mime, 2 teater pendek bertajuk ‘Bedah’ dan ‘Ketupat Oh Ketopat’ serta sebuah monolog yang dilakonkan oleh Dr Shark. ‘TTS Bundle Show’ adalah suatu usaha yang harus dipuji kerana kejayaan mementaskannya telah membuktikan kematangan ahli TTS dalam menguruskan sebuah produksi dalam masa yang sangat singkat. Ini dapat dilihat dari aspek pemilihan pelakon, penguasaan watak, pengurusan teknikal dan persiapan pentas. Hanya 2 minggu untuk menyediakan pementasan sebagus ini telah membuktikan komitmen yang ditonjolkan sangat membanggakan dan inilah yang diperlukan untuk membina sebuah produksi teater yang mantap.
Mementaskan 8 sketsa mime dalam satu malam adalah satu usaha yang sangat menakjubkan. Perkembangan TTS Mimers memang sangat membanggakan. Idea idea yang baru dan segar sentiasa mencuri perhatian penonton dan mampu membuat penonton ketawa. Usaha pengarah mime, Half mengetuai “TTS Mimers” sememangnya menakjubkan. Pendekatannya memanggil penonton berlakon bersama dalam sketsa ‘The Director’ adalah suatu langkah yang bijak dan jelas penonton terhibur. ‘The Director’ memaparkan kisah seorang pengarah yang mencari pelakon untuk berlakon dalam dramanya arahannya. Half yang bertindak sebagai pengarah memanggil penonton-penonton untuk melakonkan dramanya. Sangat lucu apabila Half meminta pelakon-pelakon melakonkan watak sepasang kekasih, lelaki yang kecewa apabila melihat kekasihnya bersama lelaki lain, dan seorang krew produksi. Bayangkanlah bagaimana pelakon-pelakon ‘segera’ ini berlakon. Haru dibuatnya apabila masing masing malu-malu dan gagal untuk melakonkan seperti apa yang diminta. Malah ini ditambah dengan gaya bersahaja Half yang member tunjuk ajar bagaimana untuk melakonkan watak watak tersebut. Amat menggelikan hati. Jelas Half memang tidak mengecewakan.
Seorang lagi ‘TTS Mimers’ yang berbakat, Ash, memang harus diberi pujian. Ash yang bergandingan dengan Ammar mempersembahkan sketsa mime yang berjudul ‘The Maid’. Ash berlakon sebagai ‘robot orang gaji’ manakala Ammar sebagai tuan. Pergerakan Ash yang tepat dan ‘clean’ sememangnya memikat hati penonton. Ini dibantu oleh Ammar, bakat baru yang harus digilap agar ‘TTS Mimers’ terus hidup dan berkembang bersama bakat bakat besar yang lain.
Sefa dengan usaha ‘eksperimental’nya kali ini mempersembahkan ‘Corporeal Mime’ mungkin perlu lebih berhati hati untuk memilih sketsa mimenya. Beliau perlu membina jalan cerita dari teknik pengembangan gerak badan mime yang cuba beliau bawakan. Mungkin itu lebih menarik dan mudah difahami oleh penonton. Walaupun ‘Corporeal Mime’ ini baru dalam aliran ‘TTS Mimers’, saya yakin, ia akan berkembang dengan idea idea segar dan baru. Sefa adalah salah seorang ‘TTS Mimers’ perantis yang berbakat. Malah bakat beliau juga telah terbukti dalam lakonan teater teater Dr Shark yang lain. Jadi bukanlah menjadi suatu masalah besar untuk beliau kembangakan aliran ini.
Hisam dan Buzar, 2 bakat baru yang harus diberi perhatian. Mereka membawakan sketsa mime yang ringkas namun berjaya mencuri perhatian penonton. Malah mereka berdua digandingkan dalam teater ‘Bedah’ dan jelas terpacar keserasian mereka berlakon. Permulaan yang bagus harus dijaga dan dipupuk agar bakat mereka berkembang dan menyumbang kepada kemajuan TTS.
Monolog ‘Pondok Tok Ayah’ adalah sebuah naskhah baru dari Dr. Shark. Kehebatan lakonan Dr. Shark sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Kebenarannya, manakan tidak beliau mampu berlakon berseorangan di atas pentas selama hampir 20 minit. Jalan cerita ‘Pondok Tok Ayah’ perlulah diperincikan lagi agar lebih jelas jalan ceritanya yang berkisar tentang tanah pusaka yang di rampas oleh pemerintah. Namun ada beberapa teknik yang digunakan dalam monolog ini memikat hati saya. Ini dibuktikan dengan cara Dr Shark yang cuba menunjukkan bagaimana jin tersebut dimasukan kedalam sebuah labu sayung. Juga teknik jin yang terbang di atas pentas seolah olah memang wujud jin tersebut. Teknik teknik ini walaupun ringkas tetap jelas berkesan. Apa apa pun memang menarik pembawakan watak ‘Tok Ayah’ dengan skripnya yang dekat dengan penonton. Pendekatan Dr Shark berinteraksi dengan penonton sememangnya memikat hati mereka. Apa apa pun ‘Kudos!’ buat Dr Shark.
Sketsa ‘Ketupat Oh Ketopat’ bukan sekadar hiburan gelak ketawa ringan. Sketsa yang diadaptasikan daripada sebuah iklan arab yang meningatkan betapa besarnya dosa mengumpat. Terdapat 3 watak yang dalam sketsa ini iaitu Atul, Nisa’ dan Tasha. Watak watak ini telah dijayakan oleh Mira, Fara dan Esah. Kesemua mereka walaupun baru dalam bidang lakonan, namun semangat dan usaha yang ditunjukkan patut diberi pujian. Mereka berjaya menguasai asas untuk sebuah lakonan iaitu lontaran vokal yang kuat serta ‘energy’ antara pelakon pelakon.
Watak ketiga tiga mereka adalah mengumpat sehingga habis cerita tersebut. Maka di akhir sketsa tersebut Mira, Farah, dan Atul memakan daging masak merah yang menjadi simbolik dosa mengumpat iaitu memakan daging saudara sendiri. Mesej yang dibawakan sangat murni dan sketsa sketsa pendek sebegini harus diteruskan agar apa yang dipentaskan bukan sekadar hiburan gelak ketawa sia sia.
Akhir sekali, sketsa ‘Bedah’, naskhah ini adalah sebuah naskhah pertama Dr Shark sekitar tahun 1987. ‘Bedah’ memaparkan dilema Bedah menjadi pelacur di Lorong Haji Taib yang dilakonkan oleh Tasha. Bedah terpedaya oleh kekasihnya sendiri Kassim (Ammar) yang akhirnya terperangkap melakukan perbuatan terkutuk melacur. Watak Munah yang dibawakan oleh Shira telah dibawakan dengan baik yang mana Munah adalah ibu angkat kepada Bedah yang menjaga anak Bedah, Mariah yang dibawakan oleh Anis.
Dewan menjadi gamat dengan kemunculan watak bapok iaitu Rozie dan Suzie yang dibawakan oleh Hisam dan Buzar. Rozie dan Suzie adalah rakan baik Bedah di Lorong Haji Taib. Munah datang ke Kuala Lumpur untuk mencari Bedah di Lorong haji taib dan cuba memujuk Bedah balik kerana Mariah bakal melangsungkan perkahwinannya dengan Roslan. Bedah bersetuju untuk pulang ke kampong dan tinggal bersama Mariah. Namun yang menariknya apabila ‘suprise’ yang dibawakan oleh sketsa ini berjaya menarik minat penonton. Roslan yang baru sahaja berkahwin dengan Mariah, sebelum ini pernah melanggan Bedah di Lorong haji Taib. Roslan terkejut dan cuba memberitahu Mariah bahawa ibunya seorang pelacur. Mariah tidak dapat menerima hakikat tersebut. Namun, Kassim yang bertindak sebagai ayah Roslan muncul di tengah tengah kekalutan tersebut. Kassim terkejut apabila bekas kekasihnya Bedah muncul dihadapannya dan Bedah memberitahu bahawa Mariah adalah anak hasil keterlanjuran mereka dahulu.
Persoalan yang cuba dilontarkan melalui sketsa ini adakah perkahwinan Roslan dan Mariah sah di sisi Islam? Penonton pulang dengan persoalan tersebut.
Krew produksi harus dipuji kerana telah bertungkus lumus untuk menyediakan produksi semantap ini. Apa pun, selamat maju jaya untuk TTS.
Faisal "Pacel" Aziz
CEO The Qum Actors
Sila layari http://tronohtheatershop.blogspot.com untuk melihat gambar-gambar pementasan TTS Bundle Show.
No comments:
Post a Comment